nuffnang

Kawan-kawan saya

Friday, December 31, 2010

::BERHENTI UNTUK MENCARI, TAPI ISTIQAMAH UNTUK MENJADI::

Assalamualaikum...
selamat sejahtera buat sahabat- sahabat pemblogger 
yang sudi singgah dan jalan- jalan kat sini...

mood untuk mengupdate entry yang baru di tahun akhir 2010
dengan entry kali ni

"BERHENTI UNTUK MENCARI, ISTIQAMAH UNTUK MENJADI"


hehehhe..ni slogan aku untuk 2011...
dah penat untuk mencari sesuatu untuk kepentingan aku sendiri
tapi aku akan istiqamah untuk menjadi sesuatu untuk diri aku
berhenti mengharap sesuatu yang lebih baik
dari orang lain...

tapi, aku akan lebih bersikap qanaah (sentiasa mencukupi)
walaupun aku sering dibandingkan,
tapi aku x kisah, aku mengecap apa yang aku mampu
dan kebergantungan aku terhadap orang lain akan berkurangan

mengubat apa- apa kekecewaan dalam jiwa
dan kesedihan yang membelenggu
meneruskan hidup seperti sediakala dengan penuh rasa syukur

untuk tahun 2011 yang bakal menyusul ni, aku berharap
dapat meningkatkan rasa cinta dan kasihku pada Allah
dan rinduku pada Rasulullah S.A.W

sesungguhnya aku menyintai Allah SWT melebihi rasa cinta
terhadap diri aku sendiri dan manusia sekaliannya...
aku lebih suka bersifat diam jika tiada sebarang bicara penting
yang perlu,
lebih kepada tawadduk dan bertawakkal atas rezeki, 
dan segala yang telah ditetapkan

aku mengharapkan keredhaan dari Allah...
segala yang baik atas ketentuanNya


sesungguhnya ibadahku, solatku dan segala amalku
hanya kerana Allah....
Dia yang menghidupkan dan mematikan aku
Dia yang mendatangkan rezeki padaku
Dia yang menentukan jodohku
Dia yang menentukan ajalku...

hanya Dia yang mengetahui segala rahsiaku
segala apa yang aku ikhlaskan dalam kehidupan
segala apa yang telah aku korbankan
segala apa yang telah aku buat atas dunia ini
aku berserah segalanya...

Selamat tahun baru 2011
Semoga tabah menghadapi kehidupan yang mendatang
sebagai sahabat, aku mendoakan kalian juga mendapat keberkatan dariNya...

Terima kasih kawan kerana membantu mengajar aku
mengenal dunia,
mengenal kehidupan,
menghadapi jatuh bangun,
tanpa kalian siapalah aku 
tanpa pengajaran yang berguna
aku tidak akan dapat mengharungi kehidupan sehingga kini


Thursday, December 30, 2010

::BILA KITA INGIN BERMULA::

Assalamualaikum....
Buat para pemblogger sekalian
yang sudi menyinggah di sini
yang sudi meluangkan masa membaca
segala entry di sini
semoga kalian berada dalam kesihatan yang baik
dan mendapat keredhaan dariNya

okeh, harini...entry yang baru di'copy'and paste
buat hari yang baru...dan hari khamis yang terakhir dalam 2010
khamis next week dah 2011 kan..hihihihi
marilah kita muhasabah diri dengan membaca
dan melakukan sebaik-baik amal
"BILA KITA INGIN BERMULA"

Setiap kita berhak untuk meraih kejayaan dan kebahagiaan. Asalkan kita memiliki harapan dan kemahuan serta mampu menterjemahkan harapan dan kemahuan ini dalam bentuk sikap dan tindakan maka yang akan menghalang kita hanyalah keputus asaan.

Saya telah meyaksikan berbagai ragam manusia dalam menempuh kehidupan. Ada yang gagal dan ada yang berjaya. Namun jika diteliti kehidupan mereka kita hanya akan melihat satu perbezaan besar iaitu SIKAP. Sikap kita terhadap Allah, terhadap diri, orang lain dan kehidupan itu sendiri.

Saya tidak pernah percaya apatah lagi meyakini, seseorang itu berjaya kerana kegeniusannya atau kerana keturunannya. Kejayaan sebenar bermula dengan perubahan sikap; iaitu apabila kita mula memandang jauh kehadapan dengan penuh harapan serta menginginkan ketinggian dan kemuliaan, renungan itu kemudiannya dipantulkan kepada hakikat diri kita sekarang lalu kita mula meneliti sikap-sikap yang perlu kita bangunkan untuk meraih segala harapan yang kita bangunkan tadi disamping kita cuba menanggalkan segala sikap yang akan menghalangi perjalanan kita.


Di sinilah bermulanya perjalanan menuju destinasi yang tinggi dan mulia; apabila kita sedar bahawa kita perlu berubah dan sentiasa meningkatkan diri. Inilah langkah pertama bagi menacapai apa saja bentuk kejayaan yang diimpikan. Langkah pertama ini akan mencetuskan langkah kedua dan seterusnya. Dan disinilah letaknya keajaiban dalam perjalanan hidup kita; hanya kita yang memulakan perjalanan ini. Asalkan kita memilih untuk mulakannya sekarang maka perjalanan ini akan bermula dan sekiranya kita ingin berhenti maka perjalanan kita juga akan terhenti.

Saya menyaksikan berbagai karenah manusia dalam hal ini. Ada yang memulakannya ketika diawal kehidupan, ada yang memulakannya setelah masuk kealam kehidupan yang sebenarnya bahkan ada yang memulakan langkah pertama setelah beberapa kali terjatuh hingga jiwanya tidak lagi sanggup menerima kegagalan. Namun ada yang begitu malang dan ingin memulakannya ketika nyawa sudah sampai kekerongkongan.

Mungkin ada baiknya kita tanya namun yang pasti insan yang akan mampu memulakannya ialah insan yang ingin memulakannya saat ini iaitu sekarang...ketika persoalan ini terdetik dihatinya. 

Bagi yang ingin memulakannya pada awal  ramadhan nanti, ketika syawal atau awal tahun depan...percayalah anda sedang menipu diri anda sendiri. Percayalah dan yakinlah juga bahawa ini bukan kali pertama anda menipu diri anda sendiri. Dulu mungkin anda pernah berjanji akan berubah apabila umur 15 tahun, apabila masuk tahun baru, apabila, apabila dan apabila tetapi anda masih dititik yang sama. Hidup anda tidak ubah seperti lembu yang diikat pada satu tiang dan anda cuba berlari mengelilinginya dan jarak yang palin jauh yang akan anda sampai ialah ditepi tiang yang sama.

Bebaskan diri anda sekarang dan mulakan perjalanan anda SAAT INI bukan sebentar lagi atau esok hari.


Oleh : Abu Umar

Thursday, December 23, 2010

::PANDUAN HINDARI ZINA::

Assalamualaikum semua....(buat yang Islam)
wajib jawab tau.....
Dah agak lama kiranya aku x update apa2 kat sinin...
bukannya busy sampai tadak masa..
cumanya malas nak naip entry baru...

Bukan takat malas ja..malah malas nak copy dan nak paste jugak...
hahhahah..padahal copy kat orang len ja....hahaha
okeh, kali ni aku nak share story yang hot dan boleh berguna
bila-bila masa..zasssssssssssss
^ mari melayan ^

" PANDUAN HINDARI ZINA"


Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda;
"Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian zina pada keturunan Adam (manusia), ketentuan ini tidak dapat ditolak. Zina kedua mata adalah pandangan, zina lisan adalah perkataan, sementara nafsu yang berangan-angan dan menginginkan, lalu kemaluan yang membenarkan dan mendustakannya." [Riwayat Muslim]

Desakan jiwa yang meronta lantaran suasana sekeliling, hambatan hati yang mendengus lantaran keadaan persekitaran yang terbuka, semangat ingin mencuba lantaran ajakan atau perlian kawan yang mendesak, keghairahan nafsu serta bisikan syaitan yang berterusan, semuanya itu merupakan faktor atau punca beraninya manusia melakukan larangan serta tegahan Allah, termasuk melakukan dosa besar; zina.

Untuk mengelakkan berlakunya zina, panduan berikut perlu diusahakan.;

Panduan 1: 
Menuntut Ilmu.

Tuntutlah ilmu supaya datangnya kesedaran tentang haramnya zina serta bencananya. Mengetahui hukum adalah langkah yang paling asas untuk mengukuhkan iman. Hadirilah majlis ilmu kerana belajar dengan berguru akan menjadikan kita terpimpin.


Panduan 2: 
Amalkan Ilmu.

Ilmu agama semata-mata tidak memadai untuk menguatkan iman dan mendatangkan kekuatan bagi menjauhi zina, andainya ilmu itu tidak diamalkan sungguh-sungguh. Selain Ilmu syariat, seseorang itu perlu mendalami ilmu tauhid dan akhlak, agar rasa sentiasa diawasi oleh Allah, bukan setakat mengetahui Allah itu Maha Melihat.

Mudah-mudahan dengan rasa sentiasa diawasi, seseorang itu akan malu untuk menghampiri zina, apatah lagi untuk berzina. Jika dilihat orang pun dia akan malu, apatah lagi jika Allah SWT yang melihat. Rasa malu kepada Allah ini adalah akhlak hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan benteng daripada terjebak kepada kemaksiatan.

Panduan 3: 
Dekati Orang Berilmu.

Selain menghadiri majlis ilmu secara rasmi, seseorang itu perlu mendekati orang berilmu dalam suasana tidak rasmi bagi mendapatkan pandangan, nasihat dan teguran.

Panduan 4: 
Berusaha Menjauhi Dosa.

Hindari dosa2 kecil yang membawa kepada terbiasanya melakukan dosa-dosa besar. Tinggalkan perkara yang makruh yang Allah tidak suka, serta jauhi sama sekali perkara haram yang Allah murkai.

Panduan 5: 
Menolak Segala Jalan Yang Membawa kepada Menghampiri Zina.

Dengan kata lain, menutup semua 'pintu' yang boleh mengarah kepada zina. Dalam istilah fikah, ia disebut sadduz zara'ik. Antaranya;

* Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, terutama mengelakkan dari berdua-duaan.
* Mengelakkan dari mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat serta tidak sempurna menutup aurat.
* Mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang tidak halal yang boleh menaikkan nafsu seperti menonton pornografi atau melihat gambar lucah.

Rasulullah SAW menegaskan;"Pandangan itu merupakan seutas panah beracun daripada panahan iblis. Barangsiapa yang menjaga atau mengawalnya, nescaya Allah akan mengurniakan jiwanya dalam kemanisan ibadat yang akan dirasainya sehingga hari kiamat." [HR: Imam Ahmad dan At-Tabrani]
Kata Pujangga Islam;
"Sesiapa yang menjaga pandangannya nescaya Allah akan menjaga jiwanya."

*Hindari tempat-tempat yang menimbulkan fitnah seperti tempat yang menggalakkan pergaulan bebas dan aktiviti maksiat.




Panduan 6: 
Mengamalkan Zikir.

Zikir yang diamalkan secara berterusan dan tersusun mampu mensucikan hati. Hati yang bersih akan kuat menolak ransangan nafsu untuk berbuat dosa.

Panduan 7: 
Bergaul Dengan Orang Yang Baik-Baik.

Pergaulan dengan orang yang baik akhlaknya, baik amalnya dan baik ilmunya dapat membantu seseorang untuk menghindarkan maksiat, kerana yang baik akan memimpin dan mengajak kita ke arah kebaikan. Mestilah kuatkan azam untuk mencari sahabat-sahibah yang dapat membantu memberi petunjuk ke jalan kebenaran dan berusahalah mewujudkan suasana pergaulan yang baik.

Panduan 8: 
Sibukkan Diri Dengan Ibadah Dan Kerja Kebaikan.

Jika selama ini seseorang itu ketagih melihat filem porno di internet, dia mestilah melawan ketagihan itu dengan penuh keazaman dengan banyak mengisi masa beribadah dan melakukan kerja-kerja kebaikan yang lain.

Panduan 9: 
Amalkan Sunnah Nabi SAW.

Adab-adab seharian bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur kembali yang menjadi amalan Rasulullah SAW; marilah bersama kita sekeluarga amalkan. Yakinlah apabila kita bersungguh-sungguh 'ketagih' mengamalkannya dan menjadi amalan seharian, insyaAllah Allah akan memberi kekuatan untuk kita mampu mengawal diri daripada perlakuan yang tidak baik.

Sesungguhnya setiap amalan Rasulullah SAW bersulamkan doa-doa yang merupakan menjadi pelindung diri daripada pelbagai musibah.

Wallahu 'alam.

Dr. Hj. Nik Yusri Musa




cukup la kot setakat ni dulu ye, nanti aku update lagi yes...

Thursday, December 9, 2010

MUHASABAH DIRI ::RABIATUL ADAWIYAH: PERINDU CINTA ILAHI::

Assalamualaikum..buat semua pemblogger
lama kita tak bersuakan..hihi
maafla kalian, aku asyik melepak kat pesbuk je..hihi
lupa pulak nak update kat blog..okeh, kali ni..
aku nak share satu artikel menarik kat pesbuk aku...
untuk muhasabah diri kita bersama...

"RABIATUL ADAWIYAH: PERINDU CINTA ILAHI"


Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat. 
 
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.
  Insyaallah...

Thursday, December 2, 2010

::CINTA TAKKAN PERNAH BERSYARAT::

Salam ke atas kamu wahai sahabat...
pemblogger tegar..
dan buat saudara-saudara islamku...

Assalamualaikum wbt

harap-harapnya kalian sihat-sihat la hendaknya...
di samping keluarga tersayang
kawan-kawan yang mengasihi
di samping kekasih hati...

haaaa....jangan nak buat maksiat ye...
hati-hati dalam bercinta...
bercintalah dengan penuh adab, jangan mengundang azab ye...

okeh, kali ni aku nak share satu tazkirah yang menarik
"CINTA TAKKAN PERNAH BERSYARAT"

selamat membaca diucapkan..
untuk renungan kita bersama insyaallah....

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' 17: 24)

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil".

Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama. Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah  masuk 14 tahun meninggalkan kami. Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh senyumannya.

Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan Ilahi, seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat membaca. Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis dibacanya. Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya. Kata bonda, "jika sunyi dan tak buat apa-apa, kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku, nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah anak-anak nak melayan orang tua yang begitu."

Saya memang rindukan bonda. Bonda saya juga rindukan suaminya. Jika diselak langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan makam ayahanda di tepi masjid sebelah rumah. Bonda sering termenung di tingkap itu, merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima. Arwah nenda pernah berkata, "aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari kecil sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!" Saya juga terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.

Mungkin semua itu kerana watak ayah. Dia menjadi tumpuan kami dan kami sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama ayah. Namun selepas ayahanda pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami sunyi hilang ketawa. Sepi..

Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh ayah semasa dia sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di rumah, tertumpu pada ayah. Kini ibu saya pula melayan sepi dan sunyi itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan bonda kerana saya terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara, saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL, rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan masa.

Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya membiarkan bonda kesunyian di kampung.

Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.

Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?

Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.

Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja tak habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang kerja. Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin besar. Dan pandai mengajuk cakap", keluhan saya kepada bonda beberapa ketika yang lalu.

"Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur. Kaki mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah", itulah suara dari hati bonda.

Semasa berdoa tadi baru saya sedar, ibu saya amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling menyerlah, pemaaf bonda semasa saya kecil...

Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah habis. Semasa bonda sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya, saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan beku, periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa berlalu, apabila bonda terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya. Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.

"Emak tak marah?", saya cuba memberanikan diri bertanya.

"Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu sorok periuk ni dalam kabinet", itulah katanya.

Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu bonda dan dia dengan segera memujuk.

Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air sabun. Bonda tidak marah.Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah. Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di pipi yang sudah kebiru-biruan. Bonda tidak marah.

Ayahanda juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya sambil berkata, "nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku."

Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. "Maaf ustaz, kalau begitulah cakap ustaz, saya pun 'tak hingin' nak sekolah di sini!", jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama, mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.

Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Ayah amat terkejut dengan tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan saya wang RM50 sambil berkata, "ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu nak bersekolah mana selepas ini". Itu cara ayah saya. Dia jarang sekali marah.

Ayah dan bonda saya amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja karenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu, mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.

Ayah dan bonda menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA SYARAT.

Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas. Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.

Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi hati mudah berkata, "bilalah orang tua ini nak mati!". Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas, rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk get rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah....

Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.

"Abah kat Mekah doa apa, abah?", saya bertanya.

"Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk. Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!", kata ayah saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. "Abah, jangan cakap macam tu...", saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata kering di pipi. Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.

Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya  kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.

Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat...

NAMUN...Mungkinkah semua itu,  Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya untuk meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang banyak berbekas. Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan syarat terhadap Allah. Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!

Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada Tuhannya.
 

Astaghfirullah.

Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum dapat menjaganya di depan mata.Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa yang Allah syaratkan itu?

Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih sayang-Nya.

Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99 nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya.Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:

(1) Memberi tanpa meminta apa-apa balasan.
Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.

(2) Memberi secara berulang-ulang.
Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.

(3) Memberi tanpa diminta.
Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.

(4) Memberi sesuatu yang amat berharga.
Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri.  Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.

(5) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan.
Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.

Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil".Ameen.

Wednesday, December 1, 2010

::KEMBALILAH LELAKIKU::

 Salam buat yang tersayang,
kutitipkan puisi indah buat kamu wahai jejakaku
yang takutkan Allah
yang bakal membawa aku ke syurga menemanimu..
semoga dihayati bait-bait lirik yang ditipkan buat kalian
"KEMBALILAH LELAKIKU"







Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami berpangkat Saifullah,
Tokoh hebat berjiwa gagah.



Kini,
Bila Disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah sepi,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya sekadar boneka duniawi.



Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga dan melindungi,



Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu menjauh lari,
Lelaki khianati hidup kami.



Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita.



Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Wanita diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.



Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,



Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.



Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,



Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu,dunia dan seisinya.



Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,



Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.



Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurian mati terbunuh,



Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh saudaranya.



Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,



Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.



Kembalilah lelakiku,
pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul...


sumber : http://www.rediesh.com/category/untuk-jejaka

::TOLONG SAMPAIKAN SEDEKAHKU INI KEPADA PARA PELACUR::

 Salam 1 Malaysia
salam sejahtera.....buat semua warga pejalan kaki di page yang tak seberapa nih..
hihihihihihi
Kaifa haluka?
harap2 semuanya okeh kot...

okeh, harini aku nak share 
artikel dalam fb aku
"TOLONG SAMPAIKAN SEDEKAHKU INI PADA PARA PELACUR"
semoga menjadi renungan bermakna buat kita bersama...


Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?”

“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

“Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.

Saya mendengar kisah tersebut daripada Guru Saya yang Mulia, Syeikhuna al-Allamah Dr Wafiq al-Hijazi al-Hanafi hafizahullah.

Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar al-Syarif
,Kaherah Mesir

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails